Edited by altimi at 23-2-2016 12:03 PM

“Saya juga ingat semasa di Pekan, saya dipaksa tidur sebilik dengan Najib sebab dia kata takut. Tapi dia tidur atas katil, saya atas lantai. Memang dia penakut.”

Cerita pengawal peribadi Razak

Selama 44 tahun berkhidmat untuk keluarga Tun Razak membuatkan Datuk Idris Shaari menjadi figura terbaik yang mengenali Perdana Menteri Keenam, Najib Tun Razak yang ditatangnya sejak kecil.




LELAKI ini memikul amanah yang cukup berat. Namun, tugas itu dilaksanakan dengan baik sejak 44 tahun lalu. Jarang sekali beliau mengeluh, malah segala keperluan keluarga itu cuba disempurnakan semampu mungkin.

Datuk Idris Shaari Mat Aris, 67, kini sudah boleh tersenyum puas. Puas dan bertuah kerana beliau diberi peluang memberi khidmat kepada keluarga yang memberikan negara ini dua orang Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Segala-galanya bermula pada tarikh 1 Mei 1965. Idris yang berusia 22 tahun ketika itu mula ditugaskan sebagai pengawal peribadi kepada Tun Razak sehinggalah negarawan itu meninggal dunia.

Apabila Tun Razak sudah tiada, Idris yang berusia 49 tahun ketika itu diminta bersara daripada pasukan polis demi menjadi pengawal peribadi Tun Rahah, selain bertanggungjawab menjaga segala urusan keluarga tersebut.

Sewaktu Idris mula berkhidmat, Najib baru berusia 12 tahun.

"Semasa kecil, Najib tidak nakal atau buas. Dia hanya berkawan dengan adik-beradiknya, terutama Datuk Ahmad Johari. Dia pergi sekolah dan balik sekolah, itu sahaja.

"Kegemarannya ialah bermain bola sepak. Dia seronok main ramai-ramai, orang tua macam saya cuma jadi penjaga gol," katanya diselangi dengan ketawa.

Najib juga tidak cerewet apabila menyentuh bab makanan. Makanan kegemaran Najib ialah apa yang dihidangkan di atas meja. Tiada makanan kesukaannya yang khusus. Maklumlah, zaman itu masih belum ada Kentucky Fried Chicken (KFC) atau McDonald's.


CARA berpolitik Najib bagi Idris sama seperti Tun Razak.


Satu perkara yang cukup disenangi Idris adalah hubungan lima orang adik-beradik itu yang cukup baik hingga ke hari ini.

"Mereka sangat menghormati ibundanya. Hubungan adik-beradik pula macam kawan-kawan rapat. Lagi pun, sejak Tun Razak meninggal meninggal dunia, Tun Rahah akan mengadakan perjumpaan makan bersama seminggu sekali pada setiap hari Rabu malam Khamis. Cuma Najib yang agak sibuk sedikit dan mungkin jarang dapat bersama.

"Namun begitu, jika sesekali ada kelapangan, Najib akan telefon dan dia datang untuk makan bersama," cerita Idris.

Mengulas mengenai cara berpolitik Najib, Idris berpendapat ia agak sama dengan Tun Razak. Cuma gaya percakapan sedikit berbeza kerana gaya Najib lebih bagus.

"Setelah menjadi Ahli Parlimen Pekan pada 1976, sejak itu saya diarah Tun Rahah untuk menjaga Najib. Sebagai wakil rakyat, kami adakalanya bermalam di sebuah rumah yang ditinggalkan oleh Tun Razak di Pekan yang sekarang sudah dijadikan klinik.

"Dia ini penakut sikit. Bila datang sesekali tidur di situ, Najib akan minta untuk tidur dalam bilik yang sama," katanya.


WAJAH Najib ketika berusia setahun.


Memandangkan Najib sentiasa bertutur dalam bahasa Inggeris selepas balik dari England, penguasaan bahasa Melayu beliau kurang bagus pada waktu itu. Kelemahan tersebut semakin jelas apabila Najib memberikan ucapan.

"Ketika Najib sampaikan ucapan dalam bahasa Melayu, saya lari masuk ke dalam kereta. Apabila ditanya oleh pemandu, saya kata: Tak boleh dengarlah. Cara penyampaian dan pelatnya lain macam sahaja.

"Tetapi, saya kagum dengan Najib kerana mulai hari itu, dia mula belajar bercakap dengan baik dalam bahasa Melayu," kata Idris yang lebih biasa dipanggil dengan nama Deris.

Lelaki yang segak berpakaian batik berwarna hijau itu nyata kecewa apabila mendengar cerita-cerita buruk tentang Najib. Tegas Idris, semua itu memang fitnah.


DARI kiri berdiri: Nazim, Najib, Idris dan Nizam. Duduk kiri: Ahmad Johari dan Nazir.


Ada sekali beliau bertanya Najib mengenai satu fitnah. Najib hanya jawab sekali: "Deris, awak fikirlah. Kalau hendak buat jahat, bukannya rosak nama saya, tetapi rosak nama bapa dan keluarga. Saya tidak sanggup. Ini semua fitnah."

"Lepas itu saya tidak pernah tanya lagi," jelas Idris panjang lebar.

Artikel Penuh: //www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_08.htm#ixzz4hYUJhmnX Hakcipta terpelihara 

參考來源